6 Disember 2009 - BERNAMA
Di PAHANG, bilangan mangsa banjir pada Ahad malam tinggal 951 orang apabila 13 orang daripada dua keluarga di Pekan dibenarkan pulang pada pukul 5.45 petang selepas air surut di kediaman mereka.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Pahang, bilangan mangsa banjir di Kuantan pula ialah seramai 820 orang daripada 176 keluarga yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.
Katanya pada pukul 6 petang, 10 keluarga dari pusat pemindahan Sekolah kebangsaan Cherating Baru dan Pusat Bina Insan Jaya Gading telah dibenarkan pulang.
Mangsa lain ditempatkan di Balairaya Kampung Pahang, Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Sekolah Kebangsaan Pandan, Balairaya Kampung Soi, Sekolah Menengah Gudang Rasau, Dewan Orang Ramai Sri Damai, Surau Kampung Sri Melati dan Sekolah Agama Al-Siddiq yang mencatatkan mangsa pemindahan paling ramai iaitu 235 orang daripada 49 keluarga.